AMIRUDDIN MD.ALI HANAFIAH dilahirkan di Kampung Awat, Batu Anam, Segamat pada 12 November 1965. Mendapat pendidikan awal di tanah kelahirannya dan di Kota Bharu, Kelantan serta pendidikan menengah di tiga buah sekolah di Kota Tinggi, Johor. Beliau seterusnya mengikuti kursus perguruan di Institut Bahasa, Kuala Lumpur pada tahun 1987-1989 dan memperoleh Diploma Perguruan Khas (Kesusasteraan Melayu) di Maktab Perguruan Raja Melewar dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari Universiti Malaya. Beliau sangat aktif berpersatuan dan sehingga kini telah memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri dan kebangsaan. Beliau telah dipilih untuk menerajui Persatuan Penulis Johor(PPJ) sebagai Ketua II dan pada tahun 2005, sebagai Ketua Satu sehingga kini. Pada masa yang sama merupakan ahli jawatankuasa GAPENA dan PENA.
AZHAR SALLEH dilahirkan di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 3 November 1972. Beliau mendapat pendidikan perguruan di Institiut Perguruan Darul Aman, Kedah dalam jurusan pengajian Melayu. Beliau sekarang bertugas sebagai pendidik di SK Taman Johor Jaya 3, Johor Bahru. Beliau telah memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah) dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Sebagai Munsyi Dewan DBP, beliau banyak menyampaikan ceramah dan bengkel kepada guru, pelajar dan kakitangan awam. Selain menulis puisi dan cerpen, beliau banyak menulis makalah berkenaan dengan bahasa, khususnya yang berkaitan dengan tatabahasa. Karya-karyanya banyak disiarkan dalam akhbar dan majalah seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Pelita Bahasa, Dewan Bahasa, Mingguan Wanita dan Jendela Selatan. Beliau turut terlibat dalam perkampungan Penulis Muda Negeri Johor dan Melaka sebagai pembimbing puisi. Puisinya turut dimuatkan dalam antologi puisi ‘Daksina’ terbitan DBP Wilayah Selatan. Beliau merupakan Ahli Jawatankuasa Ikatan Penulis Guru Johor. Blog beliau boleh dilayari menerusi laman http://witra.blogspot.com/
GUNAWAN MAHMOOD dilahirkan di Parit Raja, Batu Pahat, Johor pada 29 Januari 1959 dan dibesarkan di Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram, Johor. Beliau mendapat pendidikan awal di Felda Ulu Tebrau, kemudian di Sekolah Aminuddin Baki dan Institut Malaysia Johor Bahru sehingga selesai STPM. Melanjutkan pengajian luar kampus di Fakultas Bahasa dan Sastera, Universiti Nasional, Jakarta (UNAS). Memperolehi PhD melalui tesisnya berjudul ‘Pemikiran dalam Sajak-sajak Dr.Mahathir Mohamad’ di Institut Pembangunan dan Pengurusan Antarabangsa Indonesia dengan kerjasama Berkeley International University. Beliau sering memenangi hadiah dalam pelbagai sayembera antaranya hadiah utama cerpen Utusan Melayu-Public Bank 1989, puisi Kebangsaan Hari Merdeka 1989 dan saguhati anugerah novel sejarah kebangsaan 1989. Cerpen beliau ‘Harga Sebuah Kematian’ memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1988/89 dan novel remajanya ‘Tanah Ini’ memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/97. Beliau pernah meraih Hadiah Novel Remaja HSKU (Hadiah Sastera Kumpulan Utusan) untuk empat tahun berturut; Namaku Ayoko(1993), Renyah(1994), Tanah Ini(1995) dan Cinta Daerah Perjuangan(1996). Dianugerahkan Hadiah Cipta Karyawan Muda Johor yang pertama, Hadiah Sastera Darul Ta’zim pada 1996. Beliau merupakan penerima anugerah Generasi Baru oleh FELDA pada tahun 2008. Kini beliau bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Johor.
KHAIRUL HAFIZ BIN ABDUL RAHMAN adalah nama sebenar bagi Serunai Faqir yang dilahirkan di Pekan, Pahang pada 10 Oktober 1972. Kemudian keluarganya berpindah ke Johor Bahru, sebelum menetap di Muar ketika usianya sembilan tahun. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, UKM, dan Diploma Pengurusan & Pentadbiran Awam (INTAN). Pernah bertugas sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik(PTD) pada 1998 hingga 2006 sebelum mengambil keputusan menulis sepenuh masa dan menjadi tenaga pengajar muzik tradisional. Beliau aktif menulis sejak 1989 dan merupakan ahli KEPEZI (Kelab Penulis Zaharah Nawawi). Karya sajak dan cerpen beliau mendapat tempat dalam akhbar arus perdana negara dan majalah terbitan DBP di samping majalah-majalah tempatan yang lain. Menjadi penulis tamu untuk majalah Senibeladiri sehingga kini dalam ruangan Gendang Silat. Beliau pernah memenangi Hadiah Penghargaan Cerpen Remaja dan Umum, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) Exxon Mobil 2006, Hadiah Sastera Darul Takzim 2007 (Cerpen Eceran), Hadiah Penghargaan Cerpen Remaja dan Umum, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) Exxon Mobil 2007. Antara karya novel beliau ialah Lagukan Senandung Itu(DBP, 2007), Dewangga Sakti:1(PTS, 2007), dan Mantera Hitam(Alaf 21, 2009). Manakala antologi yang turut memuatkan karya beliau ialah Antologi Cerpen Kanak-Kanak “Mangkuk Tempurung Nenek”(AMN Publication, 2007) dan Antologi Cerpen dan Puisi HSKU Exxon Mobil 2006 & 2007. Kini bertugas sebagai editor di Pekan Ilmu Publications. Blog beliau boleh dilayari menerusi laman http://serunaifaqir72.blogspot.com/
Allahyarham HAJI MAS'UD BIN ABDUL RAHMAN dilahirkan pada 2 Oktober 1938, di Kampung Liang Batu, Muar Johor. Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah rendah Kampung Liang Batu, Pagoh, Muar. Selepas darjah empat meneruskan persekolahan di Sekolah Dumpur Tinggi, Muar hingga tamat darjah tujuh pada tahun 1957. Melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah Agama di Johor Bahru. Mengambil peperiksaan SRP secara persendirian pada tahun 1961 . Beliau menceburkan diri dalam bidang pendidikan ketika berumur 15 tahun lagi, apabila diterima menjadi guru sandaran di sebuah sekolah Cina Liang Batu, Muar. Beliau kemudian berpindah mengajar di Sekolah Cina Chian Chip, Pelentong, Masai, Johor. Ketika inilah beliau menerima latihan guru secara pos, ketika itu dikenali sebagai (TOUS). Pada tahun 1980 beliau ditukarkan mengajar di Sekolah Kebangsaan Kangkar Teberau, Johor Bahru. Hinggalah beliau meletakkan jawatan kerana bertanding dalam pilihan raya kecil kawasan Johor Bahru pada tahun 1988. Pernah menjadi Setiausaha 1 dan seterusnya pernah menyandang Ketua Satu PPJ pada tahun 1993 hingga 1996 (kembali kerahmatullah pada 15 November). Haji Mas’ud Abdul Ramhan aktif menulis sekitar tahun-tahun awal 60-an hingga 70-an. Beliau banyak menghasilkan cerpen dan esei dan kritikan. Kumpulan cerpen beliau telah diterbitkan pada tahun 1966 dengan judul ‘Turun Ke Lembah Gunung’ mengandungi 15 buah cerpen. Cerpen-cerpen tersebut pernah tersiar di beebrapa akhbar dan majalah yang diterbitkan di Singapura dan di Malaysia. Pada keseluruhannya cerpen-cerpen Haji Mas’ud masih bertemakan kemiskinan dan perjuangan untuk kemerdekaan. Dalam kegiatan sastera Haji Mas’ud bukan sahaja banyak menghasilkan tulisan baik berupa karya kreatif atau pun esei kritikan, beliau juga sebenarnya adalah salah seorang pengasas Persatuan Penulis Johor (PPJ) yang ditubuhkan pada tahun 1967. Dalam Jawatankuasa Penaja pada tahun 1966 beliau adalah sebagai Bendahari persatuan. Setelah persatuan didaftarkan beliau kekal sebagai bendahari sehingga pada tahun 1970 beliau dipilih sebagai Setiausaha Satu PPJ. Ketika itu Ketua Satu PPJ ialah Wan Musa Ahmad. Beliau kekal sebagai Setiausaha Satu PPJ apabila Zam Ismail (Ismail bin Zamzam) menerajui PPJ pada tahun 1971 sehingga 1987. Beliau akhirnya telah menerajui persatuan tersebut hinggalah ke akhir hayat pada tahun 1966. Sebagai Setiausaha 1 dan setwerusnya Ketua Satu PPJ, beliau banyak mengadakan aktiviti-aktivti yang bercorak sastera dan budaya. Pada masa kepemimpinan beliau kerajaan Negeri Johor telah bersetuju memberikan peruntukan kepada PPJ sebanyak RM20,000.00 setahun, berbanding sebelum ini hanya RM5,000.00 setahun. Beliau meneruskan kegiatan mengadakan kursus penulisan bagi penulis-penulis muda. Ketika beliau menjadi Ketua Satu, beliau telah mula membimbing penulis-penulis muda Johor dengan kursus penulisan yang pertama yang diadakan di Gelanggang Budaya (Kini Kompleks Belia dan Sukan Johor Bahru). Di peringkat nasional pula beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa GAPENA (Gabungan Penulis Nasional Malaysia).
MOHD. KASIM MAHMUD dilahirkan di Merlimau, Melaka pada 3 Februari 1958. Menetap di negeri Johor sejak 1978. Beliau berkelulusan Sarjana Muda Sastera dengan kepujian dari Universiti Sains Malaysia, Pulan Pinang. Beliau mula menulis sejak remaja lagi tetapi memberikan komitmen yang tinggi dalam bidang penulisan sejak awal 1990-an. Banyak menghasilkan sajak, cerita kanak-kanak, cerpen, novel, rencana dan esei. Karya beliau banyak disiarkan dalam pelbagai media seperti Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Masyarakat dan akhbar-akhbar tempatan. Di antara novel yang pernah beliau hasilkan ialah Kuntum Kasih Berserakan (Creative Enterprise Sdn. Bhd.,1999), Jalur-Jalur Pertentangan (Utusan Publication Sdn.Bhd.,2002) dan Buruan (Karisma Publication, 2006). Kumpulan cerpen beliau yang pernah terbit ialah Suara (DBP, 2003), Simpang (DBP, 2006). Manakala kumpulan puisi beliau pula berjudul Paradok Musim (DBP,2005). Antara anugerah yang pernah beliau menangi ialah Hadiah Sayembara Cerpen Perpaduan Kaum di Malaysia (1995), Hadiah Ketiga Pertandingan Menulis Cerpen Formula Malaysia (2000), Hadiah Ketiga Sayembara Menulis Cerpen Johor (2006) Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil (2002) dan Hadiah Sastera Darul Ta’zim (1999,2004 dan 2005). Beliau meraih tempat kedua menerusi novel Badai Hujung Tanah di dalam Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor Kedua pada 2008 anjuran Yayasan Warisan Johor. Blog beliau boleh dilayari menerusi laman http://mohdkasim.blogspot.com/
MOHD. KHAIRY HJ. HALIMI menggunakan nama pena Khairy Halimi, Maya Rimba. Beliau dilahirkan pada 13 Disember 1954 di Kg Seri Bukit Panjang Pekan Nanas, Pontian, Johor. Beliau bertugas di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sejak 1977. Seterusnya menjawat jawatan Pegawai MARDI di Stesen MARDI Pontian. Karya beliau berjudul Pahlawan Sang Kumbang Badak memenangi Hadiah Sastera Darul Ta’zim 1999 dalam kategori Novel Remaja. Beliau aktif melibatkan diri dalam Persatuan Penulis Johor (PPJ) sebagai AJK dan selaku Pengerusi PPJ Kegiatan Daerah Pontian (1988 hingga 1995) dan menjadi Setiausaha 2 PPJ (1996 hingga sekarang). Selain itu beliau adalah anggota Projek PEWARIS Yayasan Warisan Johor.
NAZIM MOHD. SUBARI dilahirkan pada 19 September 1969 di Muar, Johor. Beliau turut menggunakan nama pena Nur Minda Hayat dan Nazim M.S. Mendapat pendidikan rendah dan menengah di Kota Tinggi. Beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif hingga lulus Ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1992. Meminati semua genre penulisan tetapi lebih menumpukan genre puisi, pantun dan cerpen. Mula menulis sejak dibangku sekolah lagi. Karya-karya beliau sering disiarkan di dalam akhbar arus perdana dan majalah tempatan. Sepanjang penglibatannya dalam penulisan, beliau berjaya memenangi beberapa hadiah seperti Hadiah Puisi Kebangsaan Shapadu-Gapena (1992), Hadiah Utama Hadiah Sastera Utusan Melayu – Public Bank (1993, 1996), Hadiah Sastera Darul Ta’zim (1996, 1999), Hadiah ke-3 Pertandingan Menulis Puisi Perpaduan (1995), 2 hadiah penghargaan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan(HSKU) 2005, Hadiah Tinta Selatan kategori Puisi Moden 2006 dan Hadiah Saguhati Sayembara Jubli Emas DBP 2007 kategori puisi. Karya terkini beliau merupakan Kumpulan Puisi Tradisional berjudul Harga Budi (Pustaka Nusa, 2009), manakala Kumpulan Puisi beliau berjudul Nafiri Naluri berada di dalam penilaian penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.
ROSNA BINTI MOHD. KHALID dilahirkan di Johor Bahru pada 20 Mei 1966. Mendapat Pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Tengku Mariam, kemudian ke Temenggong Ibrahim Girls School di Batu Pahat, Johor. Mendapat latihan perguruan di Maktab Perguruan Mohd. Khalid, Johor Bahru dalam bidang Pengajian Inggeris (1986-1988); berpengalaman mengajar di beberapa buah sekolah di Batu Pahat selama 13 tahun dan menjadi tutor di UKM. Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kelas Pertama) dan Ijazah Sarjana Sastera (2003) di UKM. Beliau adalah penerima Anugerah Dekan (1999, 2000, 2001), Anugerah Jabatan, Hadiah Buku Universiti dan Anugerah Syed Kechik (2001) kerana kecemerlangannya dalam bidang akademik (pengajian Melayu). Terakhir beliau bertugas sebagai pensyarah sastera moden di Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, FSSK, UKM. Beliau pernah menjadi Setiausaha Persatuan Pascasiswazah Persuratan Melayu, UKM (2001), dan dari situlah beliau mula aktif dalam dunia penulisan dengan esei sebagai genre utamanya. Beliau sering terlibat dalam pembentangan seminar di dalam dan luar negara. Sajak dan eseinya disiarkan dalam antologi sajak Di Laman Anggerik(2001), majalah Bahana(2004, 2005, Brunei.), Buku Antarabangsa UNHAS-UKM(2006) dan Jurnal Melayu(2007). Beliau telah menghasilkan sebuah buku berjudul Komedi dalam Trilogi Drama Zakaria Ariffin(2006, UKM) yang meraih hadiah kategori Buku Sastera dalam Hadiah Sastera Darul Ta’zim Keenam. Manakala esei dan kritikan sastera beliau berjudul Dunia Melayu Sasterawan Negara Usman Awang meraih kategori Esei dan Kritikan Sastera pada tahun yang sama. Beliau turut pernah menjadi hakim dalam pertandingan deklamasi sajak dan cerpen di IPT.
Beliau telah kembali ke rahmatullah pada tahun 2008.
SHAPIAI MUHAMMAD RAMLY berasal dari Gunung Semanggol, Perak. Dilahirkan pada 26 Ogos 1950. Menetap di Johor sejak 1971 hingga sekarang. Pernah menjadi guru di Sek. Keb. Felda Sungai Sayong, Kulai dan Sek. Men. Sultan Ibrahim, Kulai. Mendapat pendidikan awal di Sek. Keb. Gunung Semanggol dan Sek. Men. King Edward VII Taiping. Kemudian mengikuti kursus Perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim (1969-1970). Mengikuti kursus Perguruan Khas dalam Bidang Pendidikan Seni di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras (1976). Melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat ijazah di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pada tahun 1988. Pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Mohd. Khalid, Johor Bahru(1984 – 1998). Seterusnya bertugas sebagai pensyarah di Institut Perguruan Batu Pahat, Johor( 1999-2006). Beliau pernah memenangi Hadiah Ketiga Peraduan Mengarang Cerpen Esso-GAPENA (1983) dengan cerpen berjudul ‘Pak Su’. Pada tahun 1984 memenangi Hadiah Kedua Peraduan Mengarang Cerpen Esso – GAPENA ke-V1 dengan cerpen berjudul ‘Terasing’. Seterusnya pernah memenangi Hadiah Saguhati Peraduan Mengarang cerpen Esso-GAPENA ke-V11 dan V111. Dalam bidang puisi pernah memenangi Hadiah Khas Puisi Berita Harian 1985, berjudul ‘Pertikaman Tuah dan Jebat’, Memenangi Hadiah mengarang Puisi Hari Kemerdekaan 1989, berjudul ‘Di Atas Mimbar Merdeka’ dan Hadiah Puisi Hari Kemerdekaan 1991, berjudul ‘Membina Taman’. Pernah Memenangi Hadiah Utusan-Public 1997, untuk puisi eceran berjudul, ‘Hujan Melebat Dalam Dirimu’, begitu juga pernah memenangi Hadiah Sastera Darul Ta’zim 1995 dan 1999. Buku yang pernah diterbitkan berupa kumpulan cerpen ‘Perjalanan ke Z’ (DBP, 1992), sebuah novel berjudul ‘Gerimis Perkahwinan’ (Marwilis Publisher, 1992), kumpulan puisi ‘Melihat Kesunyataan’ (Persatuan Penulis Johor, 2000). Kumpulan Puisi, ‘Keris Sebilah Itu’ (Citra Karya, 2008). Dalam bentuk antologi bersama terdapat dalam Antologi Cerpen Sayembara IV, V, VI dan VIII terbitan DBP, Antologi LQ, (DBP , 1991), Antologi Cerpen ‘Fenomena’ (DBP, 1992), dan Antologi Cerpen, ’Jalan Ke Kota’ (DBP 1991). Bagi puisi pula terdapat dalam antologi bersama ‘Di Atas Mimbar Merdeka’ (DBP, 1989), ‘Suara Anak Merdeka’ (DBP 1992), ‘Bunga Liar ‘(PPJ, 1991), Gema Membelah Gema 8 ,10 dan 11 , IQRAK (PPJ 1986), ‘Paraduk Merah’, (PPJ 1990), ‘Membentang Puisi’ (PPJ 1986), ‘Sematan’ (1985), ‘Taman Bahasa Ibunda’ (DBP 1995), ‘Dari Rosmaria ke Nor Syadana’ (PPJ 1994). Beliau bergiat cergas dalam Persatuan Penulis Johor (PPJ) sejak tahun 1974 lagi, pernah menjadi Ahli Jawatankuasa PPJ dan dalam tahun 1988 hingga 1991 menjadi Setiausaha Dua, Pada tahun 1996 menjadi Setiausaha Satu PPJ hingga pada tahun 2001.Kini sebagai Ahli Jawatankuasa PPJ Negeri memegang portfolio Pengerusi Biro Penerbitan Persatuan. Dalam PPJ bertanggungjawab mewujudkan kembali risalah PPJ ‘PITA’ dan menerbitkan kembali majalah ‘DUPA’ dan JURNAL PPJ. Pernah mengikuti sesi Penataran Sastera di Indonesia pada tahun 1992 bersama dengan Wan Ahmad Ismail dari Terengganu atas pembiayaan DBP. Pada tahun 1997 berpeluang mengikuti Perkampungan Penulis GAPENA II, selama 12 hari di Riau dan menyertai Seminar Persuratan Nusantara ke-IX di Padang, Sumatera. Sebagai aktivis sastera banyak melibatkan diri dalam memberikan ceramah dan motivasi penulisan sajak dan cerpen khususnya untuk pelajar-pelajar sekolah dan penulis muda. Dalam PPJ beliau menggalakkan sesi ‘Sembang Pagi’ yang memfokuskan perbincangan tentang proses kreatif dan bicara karya penulis-penulis PPJ. Beliau juga banyak terlibat dalam membentangkan kertaskerja tentang sastera anjuran persatuan dan juga Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan dan DBP pusat. Dalam Kembara Puisi Darul Ta’zim 2002 beliau adalah diantara dua orang penulis PPJ (bersama Gunawan Mahmood) yang berkesempatan mendeklamasikan puisi di daerah-daerah seperti Kluang, Segamat, Kota Tinggi, Pontian dan Batu Pahat. Kini, selepas bersara beliau bertugas sebagai Editor Kanan di YWJ CITRA HOLDINGS SDN. BHD., sebuah anak syarikat Yayasan Warisan Johor. Blog beliau boleh dilayari menerusi laman http://shapiaimohdramly.blogspot.com/
SITI SALBIAH RADUAN menggunakan nama pena Tiras R dilahirkan di Pontian pada 12 Januari 1963. Beliau antara penulis yang berjaya dihasilkan oleh Kepezi (Kelab penulis Zaharah Nawawi). Berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi dan dua Kesarjanaan dalam bidang Sains Perpustakaan dan Maklumat. Kini beliau bertugas sebagai Pengarah, Pusat Pengurusan Ilmu di Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Bank Negara Malaysia. Aktif dalam Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) dan Persatuan Alumni Malaysia-Jepun (Pamaja). Pernah mendapat geran penyelidikan dan menjadi pensyarah tamu di sebuah universiti di Hokkaido, Jepun. Pernah mendapat latihan dalam pengurusan pustaka digital di Harvard University, USA. Beberapa tahun lalu beliau memenangi Hadiah Menulis Esei Keamanan dan Persefahaman Antarabangsa anjuran Japan International Cooperation Agency (JICA). Hadiah itu membawa beliau kembali ke Jepun, yang dianggap sebagai kampung kedua. Dalam penulisan beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2001 untuk cerpen Penghujung dan Hadiah Sastera Johor Darul Takzim IV, 2003 untuk cerpen yang sama, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2004 untuk cerpen Pemula Versi Milenium. Hadiah Sastera Utusan-Exxon Mobil 2005 untuk cerpen Kidung Akarku dan Hadiah Sastera Johor Darul Takzim V, 2006 untuk cerpen yang sama. Karya puisi beliau turut dimuatkan dalam Antologi Puisi Graffiti Gratitude terbitan Yayasan Multimedia Sastra, Jakarta, Indonesia dalam tahun 2001. Sehingga kini karya-karya beliau telah terbit dalam 5 antologi cerpen iaitu Antologi Bersama Nasi Ayam Laut Sepinggan (Utusan Pub. & Dist., 2003) Antologi Cerpen Kepezi I & Antologi Cerpen Kepezi II ( Haqaf Ent., 2004), Antologi Bersama Segala Yang Tercinta Ada Di sana (Utusan Pub. & Dist., 2005); Antologi Bersama Kalau Kita Menjadi Kayu (Utusan Pub. & Dist., 2006), Antologi HSDT IV dan HSDT V.
SAHARIL HASRIN SANIN berasal dari Pontian, Johor. Mula menulis sejak bersekolah di Sekolah Alam Shah, cerpen pertama beliau diterbitkan oleh Majalah Dewan Siswa pada tahun 1991 dan memenangi Hadiah Sastera Siswa pada tahun tersebut. Beliau merupakan mantan program Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran DBP. Melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan industri di United Kingdom dan menamatkan pengajian pada tahun 1998. Karya-karya dan tulisan pojok beliau banyak terbit dalam pelbagai akhbar dan majalah seperti Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Majalah Siasah, Majalah Dewan Budaya, Majalah Perempuan, URTV, Eh!, dan InTrend. Beliau juga menulis artikel berbentuk saintifik untuk Majalah Dewan Kosmik dan Dewan Siswa. Novel "Luka Seribu Hari" telah disirikan dalam Majalah Wanita sepanjang tahun 2006 dan kini sedang disiapkan agar boleh dibukukan. Mulai Januari tahun 2007, novel terbaru beliau "Fashionista" disirikan dalam majalah EH! Pernah memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam pada 2001 dan 2005 (kategori cerpen, tajuk: "Dunia Badang (1.0)", dan "Ops Akliah"), dan Hadiah Sastera Darul Takzim 2003 (kategori cerpen, tajuk: "Dunia Badang (2.0)"). Beliau juga telah memenangi tempat pertama (kategori dewasa) Sayembara Cereka Sains anjuran Karyanet dan DBP untuk cerpen tulisan beliau "Sepuluh Sayap Untuk Aceh" pada tahun 2006 dan diterbitkan di dalam Dewan Sastera pada tahun berikutnya. Pada tahun 2007, cerpen beliau "Cinta Antara Api Al-Quds" yang diterbitkan dalam majalah NUR telah memenangi hadiah Sastera Darul Ta’zim. Turut dijemput menjadi panel di dalam beberapa perjumpaan Minggu Penulis Remaja anjuran DBP. Beliau telah menerbitkan antologi Lagi Cerpen-Cerpen Underground bersama Faisal Tehrani. Pada bulan Jun 2003, kemudian dijemput oleh DBP untuk membentangkan kertas kerja pendek tentang antologi tersebut di Perkampungan Penulis Muda di Kuching. Kertas kerja itu kemudiannya disirikan di dalam Mingguan Malaysia. Pada awal tahun 2008, "Radio Gaga", skrip telefilem beliau yang ditulis bersama Nizam Zakaria telah diterbitkan dan ditayangkan di saluran televisyen RTM1. Beliau turut menulis bersama 5 orang penulis lain di dalam buku "New Malaysian Essays 1" (Matahari Books). Blog beliau di saharil.com juga memenangi Anugerah Bloger Terhebat anjuran Gengjurnal pada awal tahun dan diberi pendedahan di dalam Akhbar Kosmo. Dari 29 Mei hingga 15 Jun 2008, beliau menyertai pameran seni Out of Line di galeri Central Market Annexe, kesemua karya beliau telah habis dijual pada hari pertama pameran. Sekarang beliau bertugas dan menetap di pinggir Kuala Lumpur. Blog beliau boleh dilayari di http://saharil.com/
SALEHA HUSSIN dilahirkan di Muar dan membesar di Johor Bahru. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Rendah Pengkalan Rinting, Tampoi, Johor Bahru. Kemudian di Sultan Ibrahim Girls’ School (SIGS) seterusnya melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Institut Bahasa dan Universiti Malaya pengkhususan dalam Pengajian Melayu dan Sejarah pada tahun 1979-1980, sebelum melanjutkan pengajian di Universiti of Wales, Cardiff untuk Masters in Education (MED) pada tahun 1985. Sebelum menjadi pensyarah tetap di Institut Tadbiran Awam Negara sehingga tahun 2005, beliau pernah bertugas di Maktab Perguruan Islam, Bangi hingga tahun 1991 dan kemudian di Institut Bahasa hingga tahun 1995. Beliau menulis dalam genre cerpen, ilmiah dan penyelidikan yang kebanyakannya berkaitan dengan dunia pendidikan disiarkan di jurnal-jurnal dan majalah sisipan akhbar. Beliau menghasilkan banyak skrip TV Pendidikan berkaitan mata pelajaran Pendidikan Moral dan Sejarah. Bermula pada tahun 1975 apabila cerpen pertamanya disiarkan dalam majalah Jelita (terbitan Berita Publishing), kemudian cerpen ini diulas Puan Adibah Amin. Beliau memperolehi pengalaman penulisan kreatif di dalam ruangan itu; melalui ulasan dan komen yang diberikan. Menurut beliau, novel Pemburu Mimpi ditulis pada tahun 2003 mengambil masa 3 tahun sebelum ia diterbitkan oleh DBP pada 2005.
SAMSINA HAJI ABDUL RAHMAN menggunakan nama pena Anismas Ar, beliau dilahirkan pada 19 Januari 1962 di Serom 5, Sg.Mati, Muar, Johor. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah (Inggeris) Abdullah, Sg. Mati, Muar, Johor, Sekolah Menengah Fei Hwa, Sg. Mati, Sekolah Menengah Convent, Muar dan Maktab Adabi Maharani, Muar sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor pada tahun 1982. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian pada tahun 1988, Ijazah Sarjana Persuratan pada tahun 1990 dan Ijazah Doktor Falsafah pada tahun 1998 dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Bidang pengajian dan kepakaran beliau adalah Kesusasteraan Melayu khususnya Puisi Melayu. Di samping banyak menghasilkan puisi, beliau turut aktif menulis untuk genre esei sehingga beberapa kali memenangi anugerah seperti Hadiah Sastera Perdana 2000/2001, Sayembara Penulisan Kreatif dan Kritikan Sastera dan banyak lagi. Kini beliau bertugas sebagai pensyarah di UKM.
SHAHAROM HUSAIN Dilahirkan pada 4 November 1919 di Kampung Peserai, Batu Pahat, Johor. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Peserai, Batu Pahat, dan kemudian berpindah ke Sekolah melayu Beringin Putih, Mukim IV, Batu Pahat. Pada tahun 1938, beliau memasuki Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim (MPSI) hingga tahun 1940. Di MPSI belia dapat mempelajari selok belok penulisan daripada Za’ba, Harun Aminurrashid, Buyung Adil, Ahmad Murad Nasaruddin dan Yazid Ahmad dengan lebih dekat lagi. Karya-karya yang dihasilkan mereka telah menjana kecenderungan berkarya dalam diri Shaharom Husain. Setelah menamatkan latihannya di MPSI pada tahun 1941, beliau mengajar di Sekolah Melayu Batu Putih, Batu Pahat hingga zaman pendudukan Jepun. Semasa pendudukan Jepun, minatnya terhadap ilmu pengetahuan tidak pernah surut. Beliau kemudian berhijrah ke Singapura untuk mempelajari bahasa Jepun. Atas kecekapannya berbahasa Jepun itulah akhirnya beliau diterima masuk ke Maktab Perguruan Bahasa Jepun Syonanto, Singapura pada tahun 1943. Setelah tamat, beliau dipilih menjadi guru bahasa Jepun di Pejabat Tali Air Singapura di samping menjadi guru Bahasa Melayu kepada pegawai-pegawai Jepun di sana. Setelah berakhirnya zaman pendudukan Jepun, beliau mengajar mata pelajaran Sejarah di MPSI (1949-1951). Pada tahun 1953 beliau memasuki Maktab Perguruan Bukit Senyum, Johor Bahru. Di samping itu, beliau mengikuti kursus Bahasa Inggeris secara pos di salah sebuah institusi di Australia dan berjaya memperoleh Diploma of Associateship B.R. Institute of Career pada tahun 1962. Beliau juga mengikuti kelas lanjutan di Maktab Inggeris (English College) di Johor Bahru dan berjaya memperoleh Sijil Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu (F.M.C) pada tahun 1963. Pada tahun 1969-1972, beliau mengikuti kursus secara bertulis dalam jurusan Bahasa dan Kesusasteraan Indonesia di Fakulti Sastera Universiti Nasional Jakarta dan memperoleh Sarjana Muda Sastera. Selain mengajar di MPSI, beliau menjadi guru pelawat senaman Sekolah Melayu Batu Pahat, guru darjah tujuh di Sekolah Ayer Molek dan Bandar Tinggi, Johor Bahru. Seterusnya beliau menjadi Penolong Pensyarah di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru (1968-1974) dan mengajar di Pusat Latihan Harian, Muar. Beliau juga pernah menjadi Karyawan Tamu Di Universiti Kebangsaan Malaysia. Ketokohan Shaharom Husain terserlah bukan sahaja dalam bidang penulisan sejarah, tetapi juga dalam bidang kreatif dengan menghasilkan sejarah, novel sejarah, cerpen, dan skrip drama. Selain itu, beliau juga aktif dalam bidang kepengarahan. Antara karya beliau yang terkenal termasuklah Tun Fatimah (1948), Laksamana Bentan (1954), Korban Kuala Kubu Karam (1955), Bendahara Tepok (1963), Seri Nara (1963), Di Bawah Hujan Peluru, Tawarikh Johor (1950), Tonggak Kerajaan Johor (1958), Secebis Sejarah Tiga Zaman Raja – Sultan Johor Moden (1966). Si Bongkok Tanjung Puteri (1961), Tun Seri Lanang (1965), dan Siapa Gila (1967). Dalam bidang kepengarahan drama pula, kita dapat melihat ketokohan beliau mementaskan drama Si Bongkok Tanjung Puteri yang pertama kalinya dipersembahkan pada kira-kira 30 tahun yang lalu. Beliau telah kembali ke rahmatullah pada 2 Oktober 2008.
SHAMSUDIN OTHMAN dilahirkan di Tangkak. Beliau mendapat pendidikan awal di daerah kelahiran sebelum melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Lembah Pantai (MPLP, KL). Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Institut Bahasa Kuala Lumpur (IBMM) seterusnya ke Universiti Malaya sehingga memperoleh sarjana (M.A) dalam bidang Kesusasteraan Melayu (2000). Kemudian bertugas sebagai seorang guru di Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur dan menjadi pensyarah sambilan dalam bidang penulisan kreatif di Universiti Malaya (UM) dan Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR), Kuala Lumpur. Mula berkhidmat di Jabatan Bahasa dan Kemanusiaan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia sejak Julai 2007. Sumbangan dan kepakaran beliau dapat dilihat dalam bidang Kesusasteraan Melayu khususnya dalam bidang puisi moden. Beliau pernah memenangi pelbagai anugerah sastera peringkat kebangsaan antaranya Hadiah Sastera Perdana, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah ESSO-GAPENA, Hadiah Sastera Darul Ta’zim, Hadiah Sastera Berunsur Islam dan lain-lain. Beliau pernah mewakili Malaysia ke seminar Bahasa dan Sastera di peringkat antarabangsa antaranya Indonesia, Thailand, Singapura, Australia, Jepun, dan Belanda. Dalam bidang pendidikan, beliau turut menyumbangkan kepakaran untuk Pusat Perkembangan Kurikulum, Lembaga Peperiksaan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka dan EPRD Kementerian Pendidikan Malaysia. Blog beliau boleh dilayari di http://shamsudinothman.blogspot.com/
WAHYU BUDIWA RENDRA BIN A.WAHID menggunakan nama pena W.B.Rendra dilahirkan di Hwa Ying Maternity Home, Jalan Ah Fook di pusat bandar Johor Bahru pada 15 Syawal 1399 Hijrah bersamaan 17 September 1978. Dibesarkan di Felda Ulu Tebrau, beliau mendapat pendidikan awal di SRK LKTP Ulu Tebrau (1985-1990), kemudian di SMK LKTP Ulu Tebrau (1991-1995). Memperolehi Bacelor Pentadbiran Perniagaan, UPM (2002-2006). Karyanya mendapat tempat di akhbar arus perdana negara sejak 2002 setelah mengikuti Bengkel Kelab Penulis Zaharah Nawawi(KEPEZI). Hasil karya cerpennya kini dihimpunkan di dalam kumpulan cerpen berjudul Mazhab Cinta (DBP, 2008) yang memuatkan 24 buah karya. Manakala novel Di Sebalik Mentari Jingga diterbitkan DBP pada tahun 2007. Karya beliau turut dimuatkan di dalam beberapa antologi seperti Antologi Cerpen KEPEZI Satu (2004) dan Dua (2004), antologi puisi Daksina (2004) dan Pusaka Bangsa (2006) DBP Wilayah Selatan, Manggar-Maggar Kemerdekaan (2007, YWJ Citra), Suara Bukit Timbalan(2007, Persatuan Penulis Johor), Di Tengah Arus(2007,DBP), Dari Suatu Tikungan Lorong(2008, Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd.) dan Bahasa Sungai (2008, YWJ Citra). Pernah menghasilkan skrip drama pendek untuk slot di Klasik Nasional, RTM pada tahun 2007 berjudul Risau. Beliau menjadi tamu ruangan Profil majalah Tunas Cipta terbitan DBP pada Mei 2005 dan menjadi Pembicara Ceritera Bersama Karyawan Sastera (Genre Cerpen, 2006) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan. Meraih Hadiah Puisi Pilihan Sayembara Puisi Johor 2004 (Hadiah Tongkat Warrant). Beliau turut memenangi Hadiah Penghargaan Puisi dalam Sayembara Penulisan Cerpen dan Puisi Kepenggunaan 2006 anjuran Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan GAPENA. Meraih hadiah saguhati kategori cerpen dalam Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP 2006. Penerima Hadiah Khas Juri menerusi skripnya berjudul Dogma dalam Pertandingan Monodrama Negeri Johor 2007 anjuran DBPWS, PPJ, MTNJ dan JKKWJ. Turut menerima Hadiah Sastera Darul Ta’zim ke VII kategori Cerpen Eceran anjuran Yayasan Warisan Johor menerusi cerpen berjudul Marshmallow Strawberi dan Tesaurus Cinta.. Penerima Hadiah Kategori Cerpen dengan cerpen berjudul Dari Durja Daksina, dan Hadiah Kategori Puisi Sayembara 50 Tahun Merdeka anjuran DBP; hadiah genre puisi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil 2007 menerusi puisinya berjudul Bumi Tersohor : Kerana Kau Tanah Selatan; juga memenangi tempat ke-3 Pertandingan Mengarang Cerpen Jawi bertema kemerdekaan anjuran Perpustakaan Negara Malaysia(PNM).
Beliau merupakan penerima Anugerah Penulis Muda Johor 2007 oleh Persatuan Penulis Johor(PPJ). Beliau kini dalam usaha mengumpulkan biodata lengkap penulis-penulis Johor menerusi blog yang dihadirkannya bersama Serunai Faqir iaitu penulisjohor.blogspot.com. Blog beliau boleh dilayari menerusi laman http://wbrendra.blogspot.com/
ZAHARAH NAWAWI anak kelahiran Kampung Parit Jawa, Mukim Empat, Batu Pahat Johor dilahirkan pada 5 Mei 1940. Beliau mula menulis sejak berusia 12 tahun. Bermula dengan puisi kemudian cerpen dan novel, beliau pernah menjadi wartawan dan Anggota Sidang Pengarang Wanita Utusan Malaysia (1958-1975), kemudian berkhidmat di Berita Publishing (1976-1985). Pencapaian tertinggi yang diraih hasil kegigihan beliau menulis ialah menerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) pada September 1996 di Bangkok, Thailand. Dan Hadiah Karyawan Sastera Johor, Hadiah Sastera Johor Darul Ta’zim (1999). Dari 1997 hingga 1998, Zaharah menjadi Karyawan Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka dengan menyiapkan buku proses kreatifnya berjudul Merentas Laluan. Novel Anugerah (1351 halaman) novel terpanjang di Malaysia diterbitkan pada tahun 1995, merupakan kejayaan beliau yang luar biasa. Novel Anugerah dan Jalur Sinar di Celah Daun (1981) menjadi bahan kajian sarjana dan ilmuan di Benua Eropah dan Australia, dan kini dua orang sarjana di Universiti Nasional Australia menterjemahkan buku-buku tersebut. Beliau menubuhkan kelab penulisannya sendiri dengan nama KEPEZI (Kelab Penulis Zaharah Nawawi) pada November 1997 yang ahlinya terdiri daripada penulis/peserta yang pernah mengikuti bengkel-bengkelnya. Pada 2001 Zaharah menerima Geran Penulis daripada Dewan Bahasa untuk membuat novel penyelidikan (novel industri) berlatar belakangkan Paris, Grasse (Kota Minyak Wangi terletak 1,000 km dari Paris) dan Malaysia; dan beliau menyiapkan novel Haruman Kencana pada 2004. Novel-novel beliau yang lain adalah Sebelum Berhujungnya Musim Bunga (1972), Pesisir Hitam (1985), Menuju ke Puncak (1987), Selamat Datang Adzie Farahah (1988) dan Panglima Selempang Merah (1988). Sementara Warna & Wajah adalah kumpulan puisi pertama Zaharah. Kumpulan puisi ini meraih HSDT Keempat 2003. Selain itu, beliau menulis kolum dan rencana kemasyarakatan; Kolum Pengguna untuk majalah Dewan Budaya yang pernah memenangi hadiah empat tahun berturut-turut. Novel Bulan dan Mentari (2007) memenangi Hadiah Sagu Hati Sayembara Mengarang Novel Sempena Perayaan Jubli Emas DBP, manakala Merentas Laluan telah memenangi Hadiah Sastera Perdana 2004-2005 kategori Biografi/Autobiografi. Blog beliau boleh dilayari menerusi laman http://kepezi.blogspot.com/